Isu persempadanan semula: MCA bentang cadangan, MIC mahu diselesaikan bersama

by SM Amin

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, cadangan persempadanan tersebut telah memberi kesan kepada semua parti komponen Barisan Nasional terutamanya MCA yang memiliki majoriti kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di kawasan bandar.

“MCA telah membentang cadangan kerana ia lebih menjejaskan MCA yang majoritinya kerusi bandar dan kita mahu ia dilihat semula.

“Mesyuarat memutuskan kita akan melihat semula semua perkara bersama-sama persempadanan semula,” katanya kepada pemberita selepas selesai mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional pada Jumaat.

Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang diadakan di Menara Dato’ Onn itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Tiong Lai, Setiausaha Agung Barisan Nasional akan mempengerusikan jawatankuasa kerja yang bakal ditubuhkan dan akan melihat perkara ini.

“Kita telah berikan pandangan kita dan cadangan yang lain, bagaimana untuk berikan keadilan kepada semua parti dalam Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mahu segala keputusan berhubung isu persempadanan semula diputuskan secara bersama di dalam Barisan Nasional.

“Barisan Nasional memutuskan segala keputusan perlu dibuat secara pendirian bersama kerana setiap parti mempunyai isu masing-masing mengenai persempadanan semula.

“Jadi kita mahu ia diselesaikan bersama dan diterima oleh semua pihak. Kita akan bincang di peringkat Barisan Nasional dan bawanya ke SPR,” ujarnya.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup, Pengerusi MyPPP, Tan Sri M.Kayveas dan Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.

Related Articles