Isu Permohonan Najib Seperti Sengaja Disensasikan

by Anis

KUALA LUMPUR: Isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak tidak sepatutnya diulas, perkatakan, dibahaskan apatah lagi dibesar-besarkan oleh sesiapa sahaja kerana setiap proses itu sepatutnya menjadi satu rahsia yang perlu ‘ditutup’ kukuh.

Bekas Ahli Jawatan Kuasa Lembaga Pengampunan Diraja selama dua penggal, Dr Teo Kok Seong berkata, semua pihak sepatutnya menjaga adab kerahsiaan kerana Lembaga Pengampunan Diraja ini diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong – pemimpin tertinggi di Malaysia.

Menyifatkan situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak menolak isu pengampunan Najib telah dipolitikkan.

Sedangkan, Najib bukan ahli politik pertama yang dikaitkan dengan pengampunan kerana selain Anwar, Datuk Harun Idris dan Datuk Mokhtar Hashim juga pernah mendapat pembebasan sedemikian.

“Saya yang mengikuti perkembangan isu ini (pengampunan Najib) mendapati isu ini disensasikan sedangkan proses mesyuarat pengampunan ini cukup rahsia dan teratur.

“Lebih terkejut apabila ada yang mendakwa pengampunan Najib ini dimaklumkan kepada Kabinet. Apabila kenyataan ini dibuat ia mencetuskan pelbagai spekulasi dan secara tidak langsung mendahului pengumuman yang sepatutnya dikeluarkan Istana Negara.

“Perkara ini tidak seharusnya terjadi. Untuk pengetahuan penelitian nama (banduan) yang hendak diberi pengampunan dijalankan cukup berhati-hati. Nama (banduan) yang akan dipertimbangkan untuk pengampunan ini diserahkan dengan tangan kepada tujuh ahli jawatan kuasa. Sampulnya dimeteri (seal). Setiap sampul yang dimeteri mempunyai angka. Sampulnya pula berlapis-lapis. Begitulah tertibnya memelihara kerahsiaannya.

“Peliknya, isu pengampunan Najib didedahkan, media menulisnya tanpa memikirkan implikasinya. Ada pula pihak yang mengulas, komen dan sebagainya. Ini bukan caranya sebab itu ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, pembebasan bekas ahli kumpulan Al-Maunah yang didapati bersalah kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan tersebut pada tahun 2000 pun tidak diketahui sesiapa.

Al-Ma’unah ialah sebuah organisasi pengganas militan di Malaysia melakukan pencerobohan nekad ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah pada subuh 2 Julai 2000 dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan.

Kok Seong yang Ahli Felo Majlis Profesor Negara berkata, tiada siapa pernah terfikir bekas ahli kumpulan itu akan dibebaskan kerana pertuduhan yang dihadapinya begitu serius dan hukuman yang dihadapinya lagi dahsyat, penjara sepanjang hayat.

Bezanya, isu pengampunan Najib dimainkan lebih awal dan semakin memuncak menjelang berakhirnya tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Isnin lalu.Dan, isu tersebut semakin besar apabila ada pemimpin kerajaan ‘menyambut’ spekulasi tersebut.

“Sampai satu peringkat, Peguam Najib pun bersuara dengan menyatakan pihaknya belum mendapat apa-apa maklumat mengenai mesyuarat Lembaga Pengampunan kerana tidak tahu.

“Tidak elok. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu hormati kerahsiaan itu, hormati Perlembagaan negara yang memberi kuasa itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika ia dibincangkan secara terbuka, ia hanya merumitkan keadaan, walhal ia bukan rumit pun. Selepas itu akan timbullah kenyataan tentang pengampunan sipolan lain. Wujud pula kenyataan pengampunan sipolan tidak sama dengan sipolan lain. Dan persoalan kenapa sipolan itu diampun.

“Hakikatnya, pengampunan itu ditapis kerana Lembaga Pengampunan Diraja menerima permohonan sama ada daripada banduan sendiri, keluarga atau pihak lain. Dalam erti kata lain, mesti ada permohonan, barulah dipertimbangkan.

“Pertimbangan pengampunan pula dibuat selepas melihat rekod banduan tersebut ketika dalam penjara. Adakah dia berkelakuan baik, mematuhi peraturan penjara dan sebagainya,” tambah Kok Seong.

Jelas beliau lagi, meskipun banduan yang menerima pengampunan dibebaskan, tetapi sabitan yang pernah dihadapinya masih kekal.

“Bukan bermakna bila dibebaskan, fail pertuduhannya ‘dibakar’. Bukan begitu. Pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong atas belas kasihan baginda.Katanya, pengampunan yang diberikan pula boleh tertakluk kepada pembebasan serta-merta iaitu bebas sebaik sahaja diberi pengampunan diberikan.

“Selalunya banduan yang diberi pengampunan, pihak penjara diminta menyediakan dokumen pembebasan supaya dia boleh dibebaskan serta-merta (hari itu juga),” jelasnya.

Selain pembebasan serta-merta, banduan juga boleh dikurangkan jumlah hukuman dan denda.Kok Seong berkata, semuanya tertakluk kepada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Meskipun lembaga itu dianggota oleh jawatan kuasa lain, tetapi keputusannya mutlak dari baginda. Ahli jawatan kuasa memberi pandangan, akhirnya baginda yang mempunyai kata putus,” terangnya lagi.

Menjawab pertanyaan MalaysiaGazette, ahli sarjana ini berkata, dokumen pembebasan seseorang banduan tidak akan dicatat sebarang ulasan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Dokumen itu hanya ditandatangan oleh baginda. Itu sahaja, tidak akan ada sebarang catatan di atasnya. Seperti yang saya sebutkan tadi, pengampunan ini adalah belas kasihan baginda,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles