Isu Najib Sentiasa Jadi Agenda Umno

by Anis

KUALA LUMPUR: UMNO mempunyai tanggungjawab untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan berhubung hukuman yang kini dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana parti itu pernah diketuai oleh Najib dan rayuan itu untuk membela bekas Presiden UMNO yang sememangnya tidak mendapat pembelaan sewajarnya sejak dari awal kesnya di bawa ke mahkamah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi, kita sebagai sebuah organisasi parti politik yang pernah berketuakan oleh Datuk Seri Najib, kita mempunyai satu tanggungjawab untuk membuat rayuan kepada pembelaannya.

“Ini kerana Datuk Seri Najib telah tidak diberikan keadilan melalui proses seawal kes itu dibawa di mahkamah. Soal hukuman itu adalah soal di mana kita menghormati institusi perundangan itu.

“Tetapi apabila keadilan sebenarnya telah tidak diberikan, maka itulah yang telah kami sama-sama persetujui untuk melakukan pembelaan kepada Datuk seri Najib,” katanya yang juga Presiden UMNO.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Amanat Menteri Kepada Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Milikan Agensi KKDW, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ahmad Zahid telah berusaha sebaiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh Najib yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Ahmad berkata, UMNO kini memberikan tumpuan terhadap usaha mendapatkan pengampunan penuh bagi Najib yang masih mempunyai peluang.Bagaimanapun, katanya, tidak semua perkara berkaitan hal itu boleh dinyatakan di depan khalayak ramai. – Malaysia Gazette

Related Articles