KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berterima kasih kepada Nga Kor Ming yang menarik cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Asyraf Wajdi menyifatkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu sebagai menghormati pendirian UMNO.
“Terima kasih YB Nga Kor Ming kerana menghormati pendirian UMNO dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek,” katanya dalam kenyataan.
Asyraf Wajdi berharap supaya isu yang boleh mencetuskan polemik dapat dielakkan pada masa akan datang.Katanya, cadangan yang boleh mencetuskan polemik seharusnya dibincangan secara tertutup oleh anggota Kabinet dan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
Tambah beliau, UMNO sedia untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantu agenda kementerian di bawah Kor Ming terutamanya yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya.
“Isu-isu yang disebutkan ini melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Semalam Kor Ming dilaporkan enggan memanjangkan isu cadangan untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.Beliau berkata, perkara itu dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak polemik dan salah tafsir oleh pelbagai pihak.
Justeru menurutnya, lebih baik isu berkenaan tidak terus dipanjangkan dan fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat.Media sebelum ini melaporkan, Menteri KPKT itu mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.
Cadangan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak, khususnya UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu. – MalaysiaGazette