Isu air: Azmin dibidas main politik

Ketua Pemuda BN Selangor, Zainuri Zainal berkata Mohamed Azmin mengambil jalan mudah dengan menyalahkan UMNO dan BN berhubung beberapa siri pencemaran air sungai yang membawa kepada penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

“Mohamed Azmin sepatutnya melaksanakan kata-katanya sebelum ini yang komited memberi jaminan akan memberikan semua kelulusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air di Selangor termasuk menyegerakan pembinaan LRA Langat 2,” katanya dalam sidang media di Shah Alam pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pemuda MIC Selangor, D. Kajendran dan Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’azam Yaakop.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan ‘kecenderungan unsur sabotaj’ oleh BN dan UMNO untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

LRA Sungai Semenyih ditutup lebih lima kali tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru pada 23 Oktober lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Zainuri berkata dakwaan sabotaj oleh Mohamed Azmin itu ternyata satu fitnah, berniat jahat dan tidak berasas.

Justeru, beliau mencabar menteri besar itu supaya mendedahkan semua bukti berhubung dakwaan itu.

Katanya beliau bersama beberapa ketua pemuda parti komponen BN Selangor telah membuat kira-kira 22 laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan mahu pihak polis menyegerakan siasatan serta mencari pihak yang sebenarnya bertanggungjawab mencemarkan sungai berkenaan. – Bernama

Related Articles