Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah tiba pada jam 8.35 pagi sebaik hujan berhenti.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta pemimpin lain.
Lagu Negaraku kemudian dimainkan oleh Pancaragam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya, diiringi 10 das tembakan meriam.
Yang di-Pertuan Agong kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama RAMD seramai 103 ahli dan empat pegawai diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi dengan diiringi 11 das tembakan meriam.
Istiadat diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebelum lagu Negaraku kedua dimainkan.
Baginda kemudian menemui pemimpin negara merangkumi barisan Tun, Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat dan Menteri bagi menerima serta mengucapkan selamat tinggal sebelum berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).
Tuanku Abdul Halim menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua hari ini dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa esok bagi tempoh lima tahun.
Tuanku Abdul Halim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975, sebelum ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkuat kuasa 13 Disember 2011.