IRDA dipersalahkan bila JB banjir lagi

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang juga ahli parlimen Pulai, berkata peranan IRDA dalam infrastruktur ibu negeri Johor itu mesti dikaji semula.

“Sungai Segget banjir lagi dan menenggelamkan bandar Johor Baru. IRDA pada 2015 memberi saya jaminan projek Segget bernilai RM200 juta itu akan mengelakkan banjir. Ini lebih teruk sekarang.

“Peranan IRDA mesti dikaji semula. Pihak pengurusan terlalu selesa dan kekurangan kemahiran. Lebih baik biar MBJB (Majlis Badaraya Johor Bharu) melaksanakan projek-projek masa depan,” kata Nur Jazlan dalam beberapa siri tweet malam tadi.

IRDA bertanggungjawab terhadap projek untuk memberi nafas baru kepada Sungai Segget yang mengalir bersebelahan Jalan Wong Ah Fook di pusat bandar Johor Baru.

Nur Jazlan berkata pihak berkuasa memberi jaminan bahawa projek itu akan siap pada 1 Januari.

Oleh itu, katanya, adalah tidak adil untuk mempersalahkan MBJB akibat banjir di bandar itu semalam.

Ketua DAP Johor Liew Chin Tong juga berkongsi kekecewaan Nur Jazlan, dan mahu kerajaan negeri Johor memecat IRDA dari projek Sungai Segget.

“Denda IRDA jika siasatan mengesahkan wujudnya kecuaian dan tindakan tidak bertanggungjawab,” kata Liew.

Walaupun Ahli Parlimen Kluang itu bersetuju dengan Nur Jazlan, beliau berkata kerajaan pimpinan BN tetap bertanggungjawab ke atas MBJB dan IRDA dalam mentadbir Johor.

IRDA dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin. -Malaysiakini

Related Articles