Iphone 7 boleh dibawa ke kolam renang

Prestasi pastinya dipertingkat di mana kali ini, iPhone 7 dibekalkan pempropses A10 Fusion 4-teras. Ia menggandingkan 2 teras berprestasi tinggi dan 2 teras yang lebih jimat tenaga.

Buat pertama kalinya, Apple memperkenalkan produk yang boleh dibawa ke dalam kolam renang. Selain Apple Watch Series 2, telefon pintar iPhone 7 juga diberi perlindungan debu dan air. Perlindungan IP67 padanya pasti menggembirakan ramai pihak, terutama yang gemar berenang.

Sistem bunyi di iPhone 7 diberikan kuasa stereo. Ia menggunakan pembesar suara panggilan di atas skrin dan di bawah telefon seperti di HTC 10, untuk menghasilkan bunyi stereo kiri dan kanan.

Skrin iPhone 7 masih kekal sama, berukuran 4.7-inci dengan paparan Retina HD. Manakala iPhone 7 Plus menggunakan skrin 5.5-inci juga dengan paparan Retina HD. Kedua-duanya memiliki sensor sentuhan Apple Touch.

Apple turut mengambil langkah drastik, membuang port audio 3.5mm dari iPhone 7. Ia akan menggunakan port Lightning untuk memasang fon kepala, yang turut dibekalkan bersamanya. Tetapi Apple turut menyertakan adaptor Lightning ke Audio 3.5mm, bagi yang masih mahu menggunakan fon kepala sedia ada.

Perkara paling utama di iPhone, pastinya ruangan kamera. Kedua-dua model iPhone 7 memiliki kamera depan FaceTime HD dinaiktaraf ke 7MP f/2.2, bersama fungsi Retina Flash dan kebolehan merakam video HD Penuh 1080p. Tetapi di kamera belakang ia sedikit berbeza.

Kamera belakang iPhone 7 dan iPhone 7 Plus mengunakan sensor 12MP dengan pemproses imej baru yang lebih baik, apertur f/1.8 yang lebih pantas, empat-tona LED Flash, serta penstabil imej optikal (OIS). Rakaman video boleh dibuat sehingga resolusi 4K.

Tetapi iPhone 7 Plus memiliki dua lensa 12MP. Ia tidak mengambil gambar monokrom dan warna seperti Huawei P9, sebaliknya berfungsi sebagai lensa lebar biasa dan juga lensa telefoto. Ini membenarkan iPhone 7 Plus memiliki fungsi seakan zum optikal 2x.

iPhone 7 dan 7 Plus akan menjalankan sistem operasi iOS 10 yang terkini. Ia kini ditawarkan dalam lima warna: Perak, Emas, Emas Ros, Hitam dan Hitam Jet yang berkilat. Pilihan storan pula bermula dari 32GB, 128GB dan 256GB.

iPhone 7 akan dijual bermula dari harga USD649, manakala iPhone 7 Plus bermula dari USD769. Memandangkan ia harga yang sama seperti iPhone 6S semasa pelancaran dahulu, boleh dijangkakan harganya di Malaysia bermula dari RM3,199 bagi iPhone 7, dan RM3,699 bagi iPhone 7 Plus.

Apple membuka tempahan iPhone 7 hari ini, dan akan memulakan jualan di 28 buah negara pada 16 September 2016, dan 30 lagi negara pada 23 September 2016. Seperti biasa, Malaysia tidak termasuk di dalam senarai terawal ini. Bagaimanapun, anda boleh pergi ke Singapura untuk menjadi yang terawal memilikinya, kerana ia tersenarai dalam jualan pada 16 September.

Kami jangkakan, ia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk tiba di Malaysia. Besar kemungkinan dalam masa sebulan selepas pelancaran hari ini. Sementara itu, baca lebih banyak maklumat lanjut tentang kelebihan dan kekurangan telefon baru ini, di laman produk Apple iPhone 7. – The Skop

Related Articles