Ingat juga orang yang teraniaya Azmin – Budiman

by SM Amin

ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata dakwaan Azmin kononnya cadangan perlantikkan tersebut telah ditolak oleh Majlis Raja-raja nyata tidak berasas.

“Saya masih menunggu jawapan Azmin, apabila tuduhannya itu telah dinafi Pengarah Media PMO (Pejabat Perdana Menteri), betullah MB Selangor ini telah hilang integritinya.

“Jika pilihanraya tidak bersih, bagaimana Pakatan boleh menang di Selangor kerana pada saya yang tidak bersih ialah cara beliau mengambil jawatan MB dari Pelabuhan Kelang (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim). Ingat juga doa orang teraniaya,” katanya kepada Watan-Online.

Pengarah Media PMO, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad sebelum ini menjelaskan bahawa kertas cadangan bagi tujuan itu telah ditarik balik dan telah dimaklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja bersidang.

Sementara itu, ADUN Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz menyifatkan tindakan Azmin itu hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat negeri Selangor yang sedang dilanda masalah bekalan air.

“Ia bukan satu yang pelik kerana umum mengetahui mengenai cara Azmin yang suka melemparkan tuduhan yang tidak berasas untuk mewujudkan persepsi negatif di kalangan rakyat.

“Pada saya Azmin hanya ingin memesongkan pandangan rakyat dengan membuat satu tuduhan yang melulu tanpa disokong sebarang fakta dan bukti seperti contoh isu masalah air di Selangor apabila dia menuduh ia merupakan satu tindakan sabotaj dari UMNO,” ujarnya.

Azmin pada sidang DUN Selangor 4 November lalu mendakwa cadangan berkenaan tidak telah dibentang dan ditolak oleh Majlis Raja-Raja.

Related Articles