Akhbar-akhbar tempatan hari ini memetik Menteri Pendayagunaan Aparatur Negara dan Reformasi Birokrasi, Yuddy Chrisnandi sebagai berkata dengan pemecatan itu, kerajaan menyasarkan untuk mempunyai sebanyak 3.5 juta penjawat awam menjelang tahun 2019.
Indonesia kini mempunyai 4.5 juta penjawat awam yang berkhidmat dengan kerajaan pusat dan kerajaan tempatan dan pemberhentian pekerja akan dibuat secara berperingkat.
“Nisbah PNS sekarang masih tinggi iaitu 1.7 peratus. Disebabkan itu dalam beberapa tahun ke depan akan kami kurangi hingga 1.5 peratus atau akan mengurangkan lebih sejuta PNS,” katanya.
Beliau berkata pada 2019 akan ada 520,000 PNS yang bersara dan kerajaan hanya membuat pengambilan baharu bagi mengisi separuh kekosongan sahaja dan mereka yang terpilih adalah daripada kalangan yang mempunyai prestasi terbaik.
“Upaya kami dalam mengurangi nisbah PNS ini adalah melakukan moratorium PNS. Jumlah PNS yang bersara hanya diisi separuhnya saja,” katanya.
Yuddy berkata selain itu, kompetensi PNS juga akan ditingkatkan dengan pengambilan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (S1) sebanyak 50-60 peratus, kelulusan Ijazah Sarjana (S2) ditingkatkan sebanyak 30-50 peratus manakala Ijazah Doktor Falsafah (S3) akan melebihi 10 peratus.
Katanya dengan pengambilan yang penjawat awam yang berkelulusan tinggi, kerajaan yakin mereka memberi daya saing yang tinggi.
Beliau juga menasihati penjawat awam supaya meningkatkan prestasi masing-masing jika tidak mahu tergolong dalam kumpulan sejuta PNS yang bakal dipecat.
Yuddy berkata golongan PNS yang menunjukkan prestasi yang baik tidak perlu bimbang kerana kerajaan hanya akan memecat mereka yang lemah dan bekerja di bawah paras prestasi sepatutnya dan yang bermasalah sahaja.
Mereka yang dipecat akan diberi ganjaran persaraan mengikut undang-undang dan kelayakan masing-masing. – Bernama