Asyraaf, 6, yang kelihatan bersemangat menunggu detik pertemuan yang bersejarah dalam hidupnya amat teruja sebaik sahaja Najib yang ditemani Datin Seri Rosmah Mansor tiba di kediamannya di Kampung Bintawa Tengah di sini, sekitar jam 3.35 petang semalam.
Dalam pertemuan itu, Asyraaf bersama ibunya Zurina Jamil, 36, dan bapanya Mohd Missbahuddin Mohd Nuru, 36, turut menerima hadiah istimewa (barang mainan) daripada Najib.
“Saya sayang PM (Perdana Menteri), saya suka PM,” kata Asyraaf yang telah lama menginginkan bersua muka dan memeluk Najib ketika berusia tiga tahun lagi.
Menurut Zurina, pihaknya dimaklumkan mengenai lawatan Perdana Menteri ke situ pada Rabu lalu dan sejak hari itu, Asyraaf amat ceria dan gembira kerana tidak sabar menunggu kehadiran Najib.
“Sekarang impian anak saya Asyraaf untuk bertemu dan memeluk Perdana Menteri telah tercapai kerana kita sedia maklum bahawa ia adalah satu impian yang sukar untuk kita sebagai ibu bapa menunaikannya.
“Terima kasih kepada pihak yang membantu dalam merealisasikan impian anak saya ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pada masa sama Zurina memberitahu bahawa anaknya itu dikesan mengalami penyakit tersebut sejak berusia sebulan sepuluh hari selepas dia dilahirkan pada 23 Ogos 2010.
“Kami dimaklumkan oleh doktor pakar bahawa dia (Asyraaf) hanya mampu bertahan sehingga umur enam tahun,” katanya sebelum beliau menitis air mata kerana tidak dapat menahan rasa sebak mengenang nasib yang menimpa anaknya itu.
Namun, beliau dan semua ahli keluarganya sentiasa mendoakan agar anaknya itu dikurniakan kesihatan dan umur yang panjang oleh Allah SWT.
Asyraaf kini belajar di prasekolah di Sekolah Kebangsaan Matu Baru dan sebelum ini pernah mendapat pendidikan awal di Tabika KEMAS Kampung Bintawa Tengah sejak berusia tiga tahun.
Sementara itu, Missbahuddin yang berasal dari Kampung Iboi, Sadong Jaya bekerja sebagai pemandu lori berkata, anaknya itu kini menerima rawatan setiap dua hingga tiga kali sebulan di Hospital Umum Sarawak untuk bertemu dengan doktor pakar di situ.
“Dan dua kali dalam setahun Asyraaf perlu pergi ke Hospital Selayang untuk bertemu pakar hati di sana,” jelasnya sambil menambah, kos pengangkutan dan penginapan anak dan isterinya ditanggung oleh kerajaan.
Hadir sama menyambut ketibaan Najib semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan tetamu kehormat lain.