Imigresen sedang kaji lanjut tempoh sah laku pasport lebih 5 tahun

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang dalam proses melakukan satu kajian bagi melanjutkan tempoh sah laku pasport kepada 10 tahun berbanding lima tahun sekarang ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh laku pasport 10 tahun ini sudah diamalkan dalam kalangan negara ASEAN seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura dan begitu juga dengan negara Itali, Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau menambah, tempoh kajian itu akan diperoleh dalam tempoh masa yang agak munasabah.

“Kita akan memperoleh hasil kajian itu dalam tempoh masa yang munasabah dan kemudian akan membuat keputusan dasar tentang keperluan untuk keperluan pasport bertempoh lima atau 10 tahun.

“Bila saya sebut ayat kajian itu dalam tempoh yang munasabah (keputusan), maka dia akan ada keputusan dasar tapi kita mulakan dulu aspek kajian sebelum memperolehi keputusan dasar,” katanya selepas merasmikan pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury Putrajaya pagi tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.

Saifuddin berkata, kajian tempoh sah laku pasport 10 tahun itu mengambil kira semua aspek.

“Kita mengambil pertimbangan semua perkara termasuk maklum balas orang awam, pemegang taruh semua sekali,” ujarnya.

Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengesyorkan tempoh sah laku pasport Malaysia Antarabangsa ditambah daripada lima tahun kepada 10 tahun dengan kadar bayaran sewajarnya.

Presidennya Ajeet Singh Gurbax Singh berkata, lebih 100 negara di dunia sudah memperkenalkan pasport antarabangsa tempoh sah laku 10 tahun termasuk negara dunia ketiga.

“Buku pasport dengan muka surat sedia ada boleh digunakan tetapi hanya tambah tempoh sah lakunya sahaja yang mana ia akan menjimatkan kos kerajaan disammping menambah pendapatan negara.

“Pasport sedia ada untuk tempoh lima tahun boleh dikekalkan dan rakyat mempunyai pilihan,” katanya menerusi kenyataan. – MalaysiaGazette

Related Articles