Imam masjid maut dilanggar lari

Mangsa, Ngawan@Nawam Palil, 75, maut di tempat kejadian selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta jenis Toyota Vios kira-kira pukul 10.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ruslan Abdullah berkata, mangsa sedang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dari arah Pekan Kuala Selangor dan berhenti di tengah jalan untuk masuk ke simpang ke rumahnya sebelum dilanggar kereta terbabit dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta badan. Bagaimanapun pemandu kereta terbabit dipercayai melarikan diri,” katanya pada Sabtu.

Ujar Ruslan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang manakala warisnya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tambahnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor atau balai-balai berhampiran.

Related Articles