Fenomena itu dikesan apabila pemancing turut memproleh pelbagai spesis ikan laut seperti cencaru, gelama, siakap dan selar sejak tiga minggu lepas.
Lebih menarik apabila kebanyakan pemancing mampu mendapat lebih 50 ekor ikan dalam tempoh tidak sampai tiga jam memancing.
Mohd Syahrin Azmi Ibrahim, 20, berkata beliau berjaya mendapat lebih 150 ekor ikan gelama dalam tempoh dua jam kira-kira dua minggu lepas ketika memancing di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra.
“Ia pengalaman yang amat menyeronokkan kerana inilah kali pertama ikan laut terutama cencaru ada di sini,” katanya.
Syahrin Azmi yang ditemui di Pasir Pakan berkata air sungai di sepanjang Sungai Kelantan sejauh lebih 20 kilometer yang bermula dari Kuala Besar di Pantai Cahaya Bulan hingga Kampung Kota di Kota Baharu juga menjadi masin.
“Ia satu keadaan luar biasa malah kami juga turut mengesan ada garam di jaring udang yang dipasang sekitar rakit di sini (Pasir Pekan),” katanya.
Beliau berkata berikutan itu lokasi berkenaan kini dikunjungi lebih ramai pemancing bermula waktu petang hingga larut malam.
Wartawan Bernama turut berkongsi pengalaman dan berjaya mendapat ikan cencaru hanya selepas lima minit memancing bahkan turut merasai air sungai yang masin.
Mohd Naza Mohamad, 36, pula berkata lokasi memancing itu kini menjadi rumah keduanya sejak beberapa minggu lepas.
“Saya pasti datang ke sini setiap hari selepas habis berniaga kuih di Pasar Siti Khadijah sekitar pukul 9 pagi. Ikan mudah makan umpan pada masa itu. Malah saya pernah dapat 50 ekor gelama dengan hanya memancing kira-kira 20 meter dari tebing sungai di Pasir Pekan selain mendapat udang laut,” katanya.
Beliau berkata tebing sungai sepanjang Sungai Kelantan itu menjadi lebih meriah dengan kunjungan orang ramai pada waktu malam untuk menikmati cuaca sejuk.
Katanya lokasi tersebut menjadi tempat penduduk bermandi-manda terutama kanak-kanak yang mengambil peluang bersantai bersama keluarga di hujung minggu.
Sementara itu Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Shahimi Sharif berkata kemasukan air laut ke dalam Sungai Kelantan sedikit luar biasa berbanding tahun sebelum ini kerana air laut telah mengalir sehingga Kampung Kota di sini yang terletak lebih 20 kilometer dari kawasan laut.
“Kemasukan air laut ke dalam sistem aliran Sungai Kelantan adalah perkara biasa setiap kali musim kering kerana air sungai menjadi cetek. Namun kali ini air laut mengalir lebih jauh ke dalam sungai,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan keadaan akan kembali normal secara perlahan menjelang akhir bulan depan apabila fenomena El Nino tidak lagi dominan.
Menyentuh mengenai kesan kemasukan air masin pada benteng konkrit simen dan Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Baharu dengan Tumpat, beliau berkata ia tidak akan menjejaskan struktur sedia ada.
“Sebarang pembinaan di sepanjang Sungai Kelantan telah mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemungkinan kemasukan air masin. Kita jangkakan kemasukan air masin yang bersifat sementara ini tidak akan menjejaskan struktur sedia ada,” katanya.
Sementara itu Shahimi berkata hasil perbincangan bersama Jabatan Pertanian Negeri Kelantan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan memutuskan jadual penanaman padi di sekitar Empangan Bukit Kwong di Pasir Mas mungkin ditangguhkan jika kemarau berterusan.
Beliau berkata bagaimanapun ketika ini bekalan air ke kawasan pertanian daripada Empangan Bukit Kwong tidak menjadi isu utama kerana kebanyakan kawasan penanaman padi sedang dituai.
Dalam pada itu katanya kemarau yang menyebabkan paras empangan serta sungai di Kelantan menjadi cetek juga tidak menjejaskan bekalan air untuk kegunaan domestik kerana kebanyakan penduduk menggunakan bekalan air Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dari sumber air bawah tanah. – Bernama