Wanita berusia 26 tahun itu berkata perkara itu diceritakan ibu mangsa kepadanya kira-kira 12 tengah malam tadi, apabila dia melarikan diri ke rumah beliau bersama anak perempuannya.
“Sewaktu saya sekeluarga berada di dalam rumah, ibu mangsa dan anak perempuannya berusia empat tahun, datang ke rumah saya dalam keadaan ketakutan dan mahu bersembunyi.
“Ketika itu, baru ibu mangsa berani membuka mulut, menceritakan perkara sebenar kepada saya bahawa dia dan anak-anak dipukul, ditumbuk, diterajang dan dipijak selama ini,” katanya kepada Bernama di rumahnya di sini hari ini.
Awal pagi tadi, aduan diterima Polis Kuala Muda berhubung kes pergaduhan di flat berkenaan, membongkar kes penderaan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
Mayat kanak-kanak malang itu ditemukan berbalut dengan selimut toto dan disorokkan di dalam tong ikan dalam bilik di rumah terbabit. Susulan itu seorang lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 26 tahun yang juga ibu kepada mangsa ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek wanita itu takut untuk membawa anaknya ke hospital atau melaporkan perkara itu kepada polis kerana takut disyaki bersubahat namun setelah dipujuk, ibu mangsa kemudiannya membenarkan beliau menghubungi talian kecemasan.
“Sebelum kakak (anak perempuan) dihantar mendapatkan rawatan di hospital, ibu mangsa memaklumkan bahawa seorang lagi anaknya, sudah meninggal dan berada di dalam rumah.
“Ketika itu baru saya tahu bahawa anak lelakinya sudah meninggal dunia kira-kira dua minggu lalu, kemudian dia menceritakan bagaimana dia melihat sendiri anaknya disorokkan,” katanya.
Wanita itu berkata, ibu mangsa hanya menyedari anak lelakinya sudah tidak bernyawa selepas dia keluar dari bilik air dan dimaklumkan oleh teman lelakinya bahawa mangsa terjatuh.
Wanita itu berkata beliau mengenali suspek lelaki yang tinggal di flat berkenaan namun hanya mengenali ibu kepada dua beradik itu sejak mereka berpindah masuk ke situ kira-kira sebulan lalu.
“Semasa suspek lelaki mahu membawa ibu mangsa dan dua anaknya ke flat ini, dia datang jumpa saya dan minta tumpangkan sementara ibu mangsa dan anak-anaknya di rumah saya atas alasan ada masalah.
“Tapi selepas seminggu suami dan empat anak saya mula rasa tidak selesa dan saya minta suspek lelaki untuk membawa mereka keluar dari rumah saya,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka selepas keluar dari rumahnya, tiga beranak itu disorokkan di dalam rumah didiami lelaki terbabit.
“Memang saya tidak pernah dengar bunyi bising, gaduh dan pukul, tambahan pula rumah itu sering dipasang muzik kuat.
“Pernah saya ketuk pintu rumah tu, mungkin tiada penghuni lain, mendorong suspek wanita membuka pintu selepas dengar suara saya memanggilnya, baru saya tahu mereka tiga beranak berada di dalam rumah itu.
“Ketika itu, anak lelakinya turut menjengok di sebalik pintu, mukanya ada kesan lebam, darah, mata bengkak, bila saya tanya ibu mangsa, dia jawab terjatuh dalam bilik air dan ada masalah kulit, sebab tak pernah dengar bunyi gaduh, saya ingat tiada apa-apa,” katanya.
Katanya lagi, dalam dua minggu lepas, lelaki terbabit sekali lagi meminta beliau menjaga anak perempuan suspek wanita itu kerana kononnya mahu ke Pulau Pinang.
“Katanya hanya dua tiga jam sahaja, tetapi empat hari selepas itu baru nampak kelibat mereka pulang. Sepanjang berada dengan saya, saya dapati anak perempuannya mempunyai kesan lebam pada badan, dan dia juga selalu bercerita bahawa suspek lelaki sering memukul dia, adik dan ibunya,” kata wanita itu.
Anak perempuan suspek wanita yang mengalami kecederaan parah akibat didera kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim.–Bernama