Husam dilantik pemimpin de facto AMANAH Kelantan

Perkara berkenaan disahkan oleh Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada Khamis.

Bagaimanapun, jelas Wan Abdul Rahim, jawatan tersebut diberikan kepada Husam setelah bekas Naib Presiden PAS itu menolak untuk memegang jawatan Pengerusi AMANAH negeri.

“Sebelum ini saya sudah maklumkan saya pegang jawatan ini hanya untuk diserahkan kepada beliau. Jadi dalam masa setahun saya menunggu, akhirnya sekarang beliau hadir dalam PAN.

“Telah pun kami bincang dalam mesyuarat di peringkat negeri dan saya bersedia memberi laluan kepada beliau untuk jadi Pengerusi PAN Kelantan tapi beliau menolak. Oleh kerana kita terikat dengan Perlembagaan parti, maka saya tetap pegang jawatan ini manakala Datuk Husam menjadi pemimpin de facto Kelantan,” katanya.

Wan Abdul Rahim ditemui pemberita selepas menyambut kepulangan Husam di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Husam yang dipecat daripada Pas April lalu kerana lantang mengkritik kepemimpinan tertinggi parti, mengumumkan menyertai PAN dalam satu majlis makan malam di Cyberjaya, kelmarin.

Mengulas mengenai jawatan di peringkat pusat yang mungkin ditawarkan kepada Husam, Wan Abdul Rahim berkata, perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi parti di Kuala Lumpur pada 4 dan 5 September ini.

Sementara itu, Husam dalam sidang akhbar memberitahu, jawatan atau kedudukan dalam PAN bukan keutamaan, sebaliknya beliau lebih mementingkan wadah perjuangan parti itu.

“Perkara ini terpulang kepada parti, bagi saya tidak mustahak jawatan atau kedudukan. Yang mustahak saya kini memakai jersi oren dan menjadi pemain dalam PAN.

“Kalau dulu dalam Pas saya bukan sahaja pemain simpanan, malah ‘diboo’ rakan sepasukan sendiri. Sekarang dengan jersi baharu, saya boleh bermain. Sama ada pertahanan, penyerang, sayap atau penjaga gol, tak ada masalah,” katanya.

Related Articles