Hukuman tegas terhadap penjawat awam terlibat rasuah

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, berkata kerajaan dan agensi terbabit perlu meneliti semula serta memperkemaskan Pelan Pengurusan Risiko (PPR) dan Unit Integriti yang ditubuhkan dalam setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menangani salah laku.

Beliau berkata, salah laku dalam penjawat awam dilihat tidak berpenghujung dan terbaharu membabitkan kes tuntutan palsu sebanyak RM4.9 juta.

“Jika diteliti statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sehingga Februari tahun ini sahaja, 173 kes tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu, 57 peratus iaitu 98 kes membabitkan penjawat awam.

“Malah, sepanjang tahun 2015 saja, 398 kes tangkapan sudah dilakukan membabit penjawat awam daripada 841 jumlah keseluruhan kes.

“PAS menggesa agar kerajaan termasuk agensi berkenaan supaya meneliti aspek pencegahan dan hukuman terhadap salah laku dan jenayah rasuah yang seperti tidak dapat dibendung terutamanya berkait denan pemimpin negara dan penjawat awam,” katanya.

Katanya, langkah strategik tersebut seharusnya memadai untuk mengurangkan risiko terhadap salah laku terutamanya dalam kalangan penjawat awam.

Namun, jika dilihat kepada data kes, ia seolah-olah tidak memberikan impak yang diharapkan.

“Ketiadaan suatu peraturan dan tindakan yang lebih tegas juga menyebabkan kes salah laku tidak dapat dibanteras dengan baik.

“Maka, seharusnya penggubalan undang-undang berkaitan dengannya diambil perhatian secara serius oleh pihak berwajib bagi memastikan Malaysia menuju kepada sebuah negara yang berintegriti.

“Suatu yang jauh lebih penting daripada itu ialah kerajaan mesti menunjukkan contoh pemerintahan dan pentadbiran yang baik serta patuh syariah sepenuhnya agar menjadi panduan dan contoh kepada semua penjawat awam dengan mempraktikkan kepimpinan melalui tauladan,” katanya.

Related Articles