Hudud: Persatuan Hokkien tidak tanya soalan kepada Hadi

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan, sepanjang sesi penerangan, pihak PAS tidak menerima sebarang soalan daripada persatuan itu meskipun sebelum ini mendakwa untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, apa yang berlaku, persatuan tersebut berkata bahawa mereka gagal untuk memahami ucapan yang disampaikan oleh Hadi di dalam sesi penerangan tersebut.

“Sewajarnya kunjungan PAS ke Pejabat Persekutuan Persatuan Hokkien tempohari diambil kesempatan sepenuhnya oleh pihak Persatuan Hokkien untuk bertanya mahupun mengemukakan pandangan mereka serta berdialog bagi memahami kedudukan sebenar isu Pindaan Akta 355.

“Namun malangnya, mereka tidak membuka ruang dialog dan tiada sebarang pertanyaan diajukan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedangkan Presiden Pas memberi penerangan dengan bahasa yang sangat mudah dan terus kepada subjek perbincangan secara jelas,” katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Dialog antara Hadi dan Persekutuan Hokkien semalam tidak mencapai sebarang kemajuan dengan presiden persekutuan itu, Khoo Chai Kaa berikrar akan meneruskan kempen sejuta tandatangan untuk menentang usaha meminda Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Menurut pihak penganjur mereka mempunyai persefahaman bersama dengan PAS bahawa tidak akan ada sesi soal jawab pada majlis itu.

Pindaan itu akan membuka jalan bagi Kelantan melaksanakan hukum hudud, yang telah sebulat suara diluluskan di peringkat negeri tahun lalu tetapi ditangguhkan kerana halangan dalam undang-undang persekutuan.

Walaupun begitu, Nasrudin, yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berikrar bahawa parti itu akan terus bekerjasama persekutuan Hokkien sehingga mereka memahami perkara itu.

:Pas senantiasa bersedia dan bersikap terbuka untuk terus memberi penerangan dan berdialog dengan semua pihak. Jika Persekutuan Persatuan Hokkien merasakan tidak cukup dan tidak faham dengan sekali pertemuan dan penerangan, maka kami tidak keberatan untuk terus memberi kefahaman kepada mereka mengenai Islam amnya dan pindaan Akta 355 ini khasnya.

“Selagi tidak faham maka marilah berbincang dan berdialog. Janganlah bertindak dan membuat penentangan terhadap Islam mahupun pindaan Akta 355 tanpa memahami apakah kedudukannya yang sebenar kerana ia merendahkan moral dan peribadi,” katanya lagi.

Bacaan kedua bagi RUU Persendirian itu dijangka bakal berlaku pada sesi sidang Dewan Rakyat bulan depan selepas Abdul Hadi berjaya membawanya untuk bacaan pertama, Mei lalu.

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa mahkamah syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar’ie.

Related Articles