Hubungan Malaysia, China tidak gadai negara

Sebaliknya kata Annuar, kerjasama erat tersebut adalah demi kepentingan kedua-dua negara terutama daripada aspek perkembangan ekonomi yang dilihat saling memerlukan.

“Sekarang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mencipta satu sejarah hubungan diplomatik Malaysia dengan China yang melaksanakan dasar polisi baharu ‘One Belt One Road’ yang bakal meninggalkan impak besar kepada ekonomi negara.

“Negara kita adalah antara yang terawal berada dalam kerangka dasar polisi baharu ini dan sepatutnya ia menjadi sesuatu yang sangat dialu-alukan kerana tidak semua negara mendapat peluang ini.

“Namun ada yang menganggap kononnya ia menggadai negara. Sejak bila pula perdagangan antara dua negara ini bererti menggadai negara? Kita bekerjasama dengan negara China sudah beratus-ratus tahun, tiada pula terjual negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Siri Jelajah Penerangan UMNO di Komplek Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Kota Bharu malam Jumaat.

Sementara itu, Annuar berkata, perkembangan politik negara hari ini tidak boleh dipandang ringan kerana unsur-unsur kini asing mula menyerap seperti ‘kehadiran’ George Soros yang membiayai pembangkang.

“Kita tidak mempunyai undang-undang khusus bagi parti mengisytihar sumber dana yang diterima dan baru-baru ini beberapa pihak mengakui menerima dana daripada Soros dan kebanyakkannya membabitkan pihak yang menentang kerajaan.

“Jadi rakyat perlu menilai dan berhati-hati dalam menerima suasana politik negara yang kini banyak dihimpit pihak luar cuba meraih keuntungan dan lebih menggerunkan mempunyai latar belakang yang boleh membahayakan keselamatan negara,” katanya, memetik Utusan Online.

Related Articles