Kerja pemasangan hospital itu masih giat dijalankan dan apabila dibuka ia akan beroperasi 24 jam untuk tempoh dua minggu dengan memberi tumpuan kepada kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera.
Hospital medan itu mampu memberi perkhidmatan rawatan kepada kira-kira 60 hingga 70 pesakit serta melakukan lima hingga enam pembedahan setiap hari.
Kemudahan itu terdiri daripada lima unit Modul Hospital Hadapan ATM yang akan dibentuk menjadi satu dewan bedah berukuran 244 meter persegi.
Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Dr Abd Razak Md Yusuff dalam sidang media semalam memaklumkan, ATM tidak mempunyai masalah melanjutkan tempoh penempatan hospital medan tersebut, bergantung kepada keperluan HSA.
ATM, katanya, juga akan menempatkan 20 hingga 30 anggota dan pegawai bagi membantu doktor HSA mengendalikan kemudahan hospital medan itu dari segi penyelenggaraan dan keselamatan.
“Kami diminta Kementerian Kesihatan membantu operasi di HSA setelah bilik bedah dan unit kecemasannya ditutup sementara dengan menyediakan fasiliti dewan bedah dan unit sokongan bagi kes kecemasan yang memerlukan rawatan segera dan pembedahan resusitasi.
“ATM akan bekerjasama dengan tenaga pakar HSA bagi menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya membabitkan tugasan merawat serta membedah pesakit,” katanya.
Dalam kejadian pukul 9 pagi Selasa lalu, unit rawatan rapi (ICU) zon selatan di tingkat dua bangunan induk HSA terbakar dan mengorbankan enam pesakit, selain tiga kakitangan HSA cedera akibat terhidu asap tebal.
Ia mengakibatkan penutupan sementara secara berperingkat bangunan induk HSA bagi memberi ruang kerja penilaian tahap keselamatan, pendawaian, kajian struktur bangunan dan hal-hal berkaitan yang dijangka mengambil masa dua hingga empat minggu. – Bernama