Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, umat Islam tidak wajar meremehkan pandangan atau fatwa dikeluarkan itu terutama di media sosial walaupun mereka tidak bersetuju dengannya.
Beliau berkata pandangan itu dibuat setelah pihak berkenaan mengambil kira pelbagai aspek dan prisip.
“Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan permainan Pokemon Go bukan dibuat secara semborono kerana ia melibatkan prinsip Islam dan penyelidikan secara holistik sebelum fatwa tersebut dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu 2016 di Melaka, pada Ahad.
Jumaat lepas Mufti berkenaan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dilaporkan berkata karektor Pokemon dan aplikasi permainan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor ‘maslahah’ dan kemudaratan.
Keputusan itu, katanya, hasil mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos.
Semalam, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dilaporkan berkata permainan Pokemon Go lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan.
Katanya, kajian dibuat Jabatan Mufti Pulau Pinang sebelum ini juga menunjukkan aspek negatif permainan itu melebihi perkara positif.
Asyraf Wajdi berkata sebagai umat Islam, mereka yang terlibat perlu mempunyai cara yang lebih terhormat dalam menyatakan pendapat.
Bukan meremeh sesuatu perkara seperti yang terjadi dalam isu ini di media sosial, kata beliau.
Beliau berkata, “Mufti telah memberikan pandangan dan hukum agama maka kita hormatlah ia walaupun ia tidak diwartakan sebagai fatwa dan tidak ada kuasa perundangan”.
Dalam pada itu, beliau berkata bukan semua orang boleh mengeluarkan fatwa atau pandangan mereka dalam isu berkaitan Islam selain golongan mufti di setiap negeri.
“Hari ini ada kecenderungan muncul ustaz segera di Facebook, WhatsApp dan Instagram yang mengeluarkan pelbagai ‘fatwa’ baharu yang tidak berasas dan ia boleh mewujudkan keadaan kelam-kabut,” katanya.
JAKIM sokong keputusan
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong keputusan mesyuarat jawatankuasa perundingan Wilayah Persekutuan itu.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata keputusan tersebut adalah selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain yang telah membuktikan permainan itu menjadi penyebab insiden yang membahayakan sehingga meragut nyawa.
“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, JAKIM menyeru umat Islam di negara ini agar menghindarkan diri dari permainan tersebut
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri tidak berhasrat mengharamkan permainan itu sekalipun jabatan mufti negeri mendapati permainan tersebut lebih banyak membawa unsur negatif dari positif.
Lim bagaimanapun berkata, beliau tidak akan menyertai permainan itu kerana ia terlalu kompleks untuk orang berusia seperti beliau.
Beliau berkata pandangan mufti itu adalah dari perspektif agama, tetapi buat kerajaan negeri, permainan itu tidak menjadi masalah. -Bernama