KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Singapura sejak empat hari lalu terjawab hari ini, selepas dia ditemui mati di cerun bersemak di Jalan Paya Terubong menghala Relau di sini, akibat kemalangan.
Mayat lelaki berusia 29 tahun itu ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit pada jam 12.40 tengah hari sebelum dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurut ahli keluarga yang ingin dikenali sebagai Chew, mangsa memandu kereta jenis Proton Persona milik kekasihnya untuk keluar minum bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang pada 9 Mac lalu.
“Dia hubungi kami kali terakhir pada jam 1 pagi (9 Mac) dan memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Alor Vista, Relau, dekat sini.
“Bagaimanapun, dia gagal dijejaki dan dihubungi sebelum kami mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan penemuan mayatnya tengah hari tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Muzzamer Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan khas mengangkat mayat pada jam 1 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati terdapat seorang lelaki sudah meninggal dunia dipercayai akibat kereta dipandunya terlibat kemalangan sebelum terjunam ke dalam cerun setinggi 45 meter.
“Kita temui mangsa empat meter dari kereta dipandunya dan tidak menolak kemungkinan dia tercampak keluar dari kenderaan itu impak daripada kemalangan tersebut.
“Susulan itu, kita mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Pihak polis kemudian menghantar mayat mangsa yang juga ejen insurans itu ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MalaysiaGazette