Hentikan sengketa, musuh sebenar adalah pembangkang, kata Adenan

Ketua Menteri Sarawak itu mengesahkan bahawa senarai calon untuk kesemua 82 kerusi DUN di peringkat akhir perbincangan dan Adenan mahu semua parti menumpukan tenaga dan perhatian menumpaskan cabaran Pembangkang.

Katanya, dengan sebahagian besar calon sudah diselesaikan, beliau mahu semua pihak berhenti bercakaran sesama sendiri dan laraskan sasaran kini ke arah pembangkang.

“Saya tidak mahu dengar lagi perbalahan antara kita,” katanya kepada sidang media di Wisma Bapa Sarawak, pada Rabu.

Adenan memberi kata dua itu selepas mengumumkan enam calon langsung BN daripada UPP dan satu daripada SUPP yang akan bertanding dalam pilihan raya nanti.

UPP terbentuk hasil krisis kepimpinan dalaman SUPP pada 2014.

Calon langsung BN daripada UPP yang diumum hari ini adalah Wong Soon Koh untuk kerusi Bawang Assan, Ranum Mina (Opar), Jerip Susil (Mambong), Johnical Rayong Ngipa (Engkili), Hii King Chiong (Pujut) dan Tiong Thai Kung (Dudong).

Mereka menyerahkan perletakkan keahlian masing-masing kepada Setiausaha Agung UPP, George Lui Kin Fah, hari ini.

Sementara itu, Pau Chiong Un dinamakan sebagai calon SUPP untuk DUN Tanjung Batu.

Adenan berjanji senarai calon yang lengkap akan diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon.

Pada ketika ini, hanya beberapa kerusi sahaja lagi termasuk kerusi majoriti Cina Maradong dan Pelawan di peringkat akhir rundingan.

“Ia (senarai calon) akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan. Saya perlu berikan masa kepada mereka untuk persiapkan kertas kerja. Ia akan siap beberapa hari sebelum hari penamaan,” katanya.

Related Articles