Helikopter APMM Dalam Latihan Menyelamat Sebelum Pendaratan Cemas

KUALA LUMPUR: Helikopter Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia sedang melakukan latihan menyelamat ketika ia mendarat cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam 9.55 pagi tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya menerima maklumat awal menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di lokasi kejadian.

Serentak itu, operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.

Ketika kejadian pesawat berkenaan diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara, Pegawai Waran I (M) John Ibno dan seorang perenang penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

Mereka semua dilaporkan selamat.Menurutnya, sebuah bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit.

Hamid berkata, aset Maritim Malaysia termasuk sebuah pesawat AS 365 N3 turut digerakkan ke lokasi kejadian.

“Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca-punca kejadian dan mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu kejadian ini.Operasi telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11.15 pagi sebentar tadi. – MalaysiaGazette

Related Articles