KUALA LUMPUR: Hasrat seorang pemuda untuk menyertai program TXZ Fighter Gathering hari ini tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Perak.
Ketua Polis Maran, Deputi Suprintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian di Kilometer 166.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan selepas dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
Mangsa, Muhammad Lokman Abdul Aziz, 29, bekerja peniaga pasar malam dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ meninggal dunia dalam nahas jam 10.55 hari ini ketika bersama rombongan motosikal yang lain.
”Apabila sampai di KM166.6 LPT di tempat kejadian tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.
“Semasa kejadian, mangsa bersama rakan-rakannya menunggang 14 buah motosikal lain berkonvoi dari Kuala Kangsar menghala ke Kuantan dan kedudukan mangsa di dalam konvoi adalah di kedudukan belakang sekali.
“Akibat dari kemalangan ini, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian disahkan oleh staf ambulans Hospital Temerloh,” katanya menerusi kenyataan hari.
Kes masih dalam siasatan lanjut dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dianggarkan 50,000 peminat permotoran bakal membanjiri RXZ Fighter yang diadakan di Serambi Teruntum di Kuantan bermula hari ini dan esok. – MalaysiaGazette