Sesi yang diperuntukkan selama 30 minit itu hanya akan diadakan pada setiap Selasa dan Khamis setiap kali bersidangnya Dewan Rakyat dimana slotnya diadakan sebelum bermulanya sesi pertanyaan jawab lisan.
MQT diwujudkan Dewan Rakyat bagi membolehkan ahli-ahli parlimen mendapatkan jawapan daripada menteri melibatkan isu serius dan juga isu semasa yang mana ianya akan dijawab sendiri oleh menteri berkaitan.
Ketika MQT bermula pada jam 10 pagi hingga 10.30 pagi, Ahli Parlimen diperuntukkan masa selama seminit untuk mengemukakan pertanyaan, manakala menteri menjawab dalam masa tiga minit.
Soalan tambahan turut dibenarkan untuk diajukan.
Pada sesi hari ini, tiga soalan berhubung isu keselamatan sempadan negara, proses persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diajukan kepada menteri berkaitan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah menteri pertama yang menjawab soalan diajukan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.
Sesi itu adalah sebahagian pelan transformasi Parlimen fasa pertama selain sesi Kamar Khas yang dilaksanakan bermula persidangan lalu.