Harga runcit RON95, diesel dijangka meningkat Januari ini

Beliau berkata, harga runcit RON95 dan diesel ditetapkan mengikut purata harga bahan api itu di pasaran dunia selama sebulan selain dipengaruhi oleh pergerakan nilai Ringgit berbanding Dolar Amerika.

“Purata maksudnya harga dari tarikh 1 hingga 31 dibahagi dengan 31 hari. Bukan mengikut harga di hujung bulan seperti pemahaman sesetengah pihak.

“Dengan pengukuhan dolar Amerika berbanding Ringgit Malaysia kini, ia mengakibatkan kos pembelian minyak juga meningkat. Ia memberi kesan kepada penetapan harga bahan api di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, Jumaat.

Lokman Noor berkata, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan berdasarkan apungan terurus dengan harga bulanan ditentukan kuasa pasaran bermula 1 Disember 2014 berikutan kejatuhan harga minyak dunia ketika itu.

Lokman Noor berkata, masih ramai tidak dapat menerima bahawa kerajaan perlu menghentikan pemberian subsidi secara pukal dan membantu mereka melalui pengagihan subsidi kepada kumpulan sasar yang betul.

Katanya, subsidi pukal yang diberi sebelum ini bererti golongan kaya dan miskin menerima nilai subsidi yang sama.

“Contohnya pada Julai 2014, bagi setiap liter RON95, kerajaan memberikan subsidi RM0.6843 seliter,” katanya sambil menjelaskan yang kaya menggunakan kuantiti minyak jauh lebih banyak berbanding yang miskin.

“Mereka yang miskin menggunakan kereta Kancil, setelah mengisi tangki mereka penuh dengan RON95, jumlah subsidi yang diterima hanyalah sekitar RM16.29.

“Mereka yang datang dari kelas menengah pula menggunakan Toyota Camry dan membelanjakan RM150 untuk mengisi penuh tangki mereka. Jumlah subsidi yang terpaksa kerajaan bayar kepada mereka adalah RM48.87, yang mana tiga kali ganda lebih besar daripada yang miskin tadi,” katanya.

Lokman Noor berkata, berdasarkan kajian Kementerian Kewangan, kerajaan membelanjakan 70 peratus daripada nilai subsidi untuk membantu golongan kaya dan hanya 30 peratus subsidi yang diberikan dalam bentuk RON95 dan diesel yang dinikmati golongan sasaran.

Pada masa sama, di bawah sistem subsidi pukal warga asing yang tinggal di Malaysia juga akan menikmati subsidi hasil daripada cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia.

Setiap hari terutamanya di hujung minggu, katanya, subsidi yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat Malaysia turut bocor kepada kenderaan Singapura, selain ia diseludup ke Thailand dan Filipina serta dijual di perairan antarabangsa.

“Subsidi bererti bantuan, pertolongan dan pemberian daripada kerajaan kepada rakyatnya. Jika ditanya siapakah yang patut mendapat pertolongan, sudah pastilah pertolongan itu perlu kita utamakan yang susah dahulu sebelum yang senang.

“Mestilah diberikan kepada rakyat kita, bukan warga asing,” katanya. – Bernama

Related Articles