Kata Sulaiman, Speaker DUN, Hannah Yeoh menolak usul yang dihantar beliau pada 13 Oktober lalu atas alasan institusi mahkamah syariah adalah di bawah sayap kehakiman dan tidak tertakluk di bawah bidang kuasa legislatif.
“Kami berasa kesal dengan penolakan usul ini memandangkan ia perlu dibahas demi memperkasa dan memartabatkan institusi mahkamah syariah di Selangor.
“Ini kerana pada hemat saya, konsep pengasingan kuasa yang dimaksudkan ialah pada soal ‘penghakiman’ sahaja yang dibuat pihak mahkamah yang mana pihak legislatif mahupun eksekutif tidak boleh campur tangan,” katanya dalam sidang akhbar di lobi DUN Selangor, di Shah Alam hari ini.
Sulaiman yang mewakili semua wakil rakyat BN itu kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh ADUN DAP-Subang yang tidak mahu beri kebenaran untuk usul tersebut dibahaskan selepas kali terakhir digubal dan diluluskan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) pada tahun 2003.
Jelasnya, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memartabatkan institusi tersebut setaraf dengan status mahkamah sivil termasuk menambah dari tiga peringkat mahkamah syariah sedia ada kepada lima peringkat seperti mahkamah sivil.
“Soal penjagaan dan naik taraf premis-premis mahkamah syariah juga perlu dibahaskan. Ini kerana ada kes siling bangunan mahkamah rendah yang runtuh dan memerlukan perhatian serius dari kerajaan negeri,” ujarnya.