VIDEO: ‘Hang Cangkul’ sudah ditahan polis

Tangkapan itu susulan video insiden itu mula viral di laman sosial semalam yang menunjukkan mangsa diserang dan dipukul oleh suspek di kawasan rumah berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pihaknya menahan suspek pertama di Jalan Indahputra kira-kira 2 pagi tadi manakala seorang lagi suspek ditahan di Kampung Melayu pukul 3.45 pagi.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi semalam, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 19 dan 26 tahun itu bertindak menyerang pengadu dan rakan sekerjanya yang sedang bertugas memotong bekalan air di rumah itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, suspek yang juga anak pemilik rumah berkenaan tidak berpuas hati selepas bekalan air dipotong dan bertindak menyerang mangsa menggunakan tangan dan topi keledar selain mengugut akan mencederakan mangsa dengan menggunakan sebatang cangkul.

Dalam video kejadian yang tersebar di media sosial, suspek menanggalkan topi keledar kakitangan SAJ itu lalu menumbuk kepalanya manakala seorang rakannya pula menendangnya.

Suspek yang tidak memakai baju tetapi hanya berseluar pendek, juga kedengaran mengarahkan kakitangan SAJ berkenaan untuk menyambung semula bekalan air kerana ibunya telah membayar bil.– Bernama

 

https://www.youtube.com/watch?v=fsuPLuorB34

 

Related Articles