Hadi Selesai Beri Keterangan Di Bukit Aman

PETALING JAYA: Hadi Awang selesai memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat Bukit Aman di pejabat PAS pusat petang ini bagi membantu siasatan bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Keterangannya berhubung kenyataan dalam artikel berjudul “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan” itu selesai dirakam pada kira-kira 3.15 petang oleh dua pegawai daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah.

Setiausaha politik Hadi, Syahir Sulaiman memaklumkan bahawa presiden PAS itu memberikan kerjasama penuh apabila diajukan beberapa muka surat soalan oleh pegawai-pegawai itu.

“Tuan guru (Hadi) beri komitmen, kerjasama sepenuhnya. Jumlah soalan boleh tahan juga banyak, beberapa muka surat,” kata Ahli Parlimen Bachok itu kepada pemberita.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan Hadi akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini dilaporkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan kenyataan Hadi dalam artikel tersebut, menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu tidak beradab.

Baginda dalam surat diutuskan kepada Hadi menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Dalam pada itu, Syahir berkata, Hadi juga telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor semalam.

“Satu warkah menjunjung kasih telah diutuskan daripada Tuan Guru bertarikh 4 Mac, kandungannya itu antara beliau dan tuanku sahaja, (jadi) kita hormati,” katanya. -Free Malaysia Today

Related Articles