Guru ‘Swinger’ Dibekukan Tugas Sementara

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengambil tindakan membekukan sementara tugas seorang guru penolong kanan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti ‘swinger’ baru-baru ini.

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada polis membuat siasatan terperinci selain JPNT akan menunggu keputusan mahkamah.

Menurutnya, perkara ini masih dalam siasatan polis dan kita serah sepenuhnya kepada pihak polis.

“Baru-baru ini pertuduhan sudah dibuat di Mahkamah dan beliau (guru berkenaan) tidak mengaku salah, manakala 31 Mac depan dijangka sebutan semula kes.

“Kita di peringkat jabatan menunggu keputusan mahkamah dan tindakan tatatertib akan menyusul bagaimanapun di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mereka sudah membuat siasatan secara menyeluruh,” katanya hari ini.

Khamis lalu, seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita tempatan bagi tujuan eksploitasi seks.

Tertuduh, Mohd Hasfyanizam Mansor, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Bagaimanapun, rakan tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, yang berdepan pertuduhan sama mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi seks.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di daerah ini, kira-kira jam 2.35 pagi pada 11 Mac lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen bagi kes Mohd Hasfyanizam. -Berita Harian

Related Articles