Guru Ponteng Antara 320 Warga KPM Yang Dibuang Kerja

KUALA LUMPUR: Seramai 320 kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk guru dibuang kerja bagi tempoh 2019 hingga 2023 kerana ponteng tugas.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata tindakan itu diambil selepas kementerian menerima 1,303 pelaporan daripada ketua jabatan membabitkan kakitangan tidak hadir bertugas dalam tempoh sama.

“Bermula 2019 hingga akhir 2023, KPM menerima sebanyak 1,303 pelaporan daripada ketua jabatan berkaitan ketidakhadiran melibatkan warga KPM.“Daripada jumlah tersebut 320 kes berkeputusan buang kerja berdasarkan Peraturan 38(g), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis), yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah proaktif diambil kementerian terhadap krisis guru ponteng atau tidak hadir sehingga tahap pelajar bertindak menyaman kakitangan terlibat.

Fadhlina berkata, kementerian tidak berkompromi terhadap pelanggaran tatatertib oleh warga kementerian yang mampu menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan khususnya proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah atau institusi pendidikan bawah kementerian.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan KPM akan menempatkan 5,435 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang bergraduasi Julai ini bagi menampung kekurangan guru di sekolah rendah seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, memaklumkan kementeriannya tidak berhasrat menubuhkan institusi pendidikan tinggi khususnya universiti awam baharu memandangkan jumlah sedia ada sudah mencukupi.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan P Prabakaran (PH-Batu), yang bertanya adakah kementerian berhasrat membina institusi pendidikan seperti UiTM untuk kaum India dengan kolaborasi bersama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Related Articles