Azizin Hamzah, 50, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Gambang didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Taman Tas Kuantan, pada 10.16 pagi, 13 April lalu.
Tertuduh yang beralamat di Taman Indera Sempurna didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Mohd. Norazihan Adnan merayu supaya jaminan sebanyak RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 atas alasan tertuduh menanggung tujuh anak berusia antara 21 dan lapan tahun.
“Tertuduh juga pernah ditahan di balai polis Temerloh dan dibebaskan dengan jaminan polis sebelum ini. Pada hari ini tertuduh hadir ke mahkamah bersama isteri dan kakak yang akan menjaminnya.
“Kami merayu supaya jaminan minimum dikenakan kerana tertuduh seorang penjawat awam dan tidak akan melarikan diri daripada hadir ke mahkamah,” katanya.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mei, tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar. – Bernama