Gunakan Dewan Rakyat Platform Terbaik Berhujah Dengan Fakta

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat yang kembali bersidang pada tahun ini bermula esok diharapkan menjadi platform terbaik kepada ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan untuk berhujah dengan fakta dan bahan kajian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, harapan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ia memberi imej baik kepada ahli Parlimen kerajaan.

Pada masa sama, menurut beliau, kerajaan sedia menangani isu baharu atau lama yang akan dibangkitkan oleh pembangkang dengan sebaik mungkin pada sidang kali ini.

“Pagi tadi kami telah mengadakan pra persidangan dan kami telah membincangkan beberapa isu dan Rang Undang-Undang baharu yang perlu disantuni oleh ahli-ahli Parlimen.

“Harapan perdana menteri agar persidangan Dewan Rakyat kali ini, ahli-ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan Madani ini akan berhujah dengan lebih berfakta dan berdasarkan bahan kajian agar ia memberi imej yang lebih baik kepada ahli Parlimen Kerajaan itu.

“Kita tahu pihak pembangkang akan membangkitkan banyak isu lama dan baharu tetapi kita akan tangani dengak sebaik-baiknya,” katanya.Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Perasmian Program Penggerak Wanita RISDA (PEWARIS).

Beliau ditanya amanat yang disampaikan oleh perdana menteri pada majlis pra sidang Dewan Rakyat di kalangan ahli Parlimen Kerajaan yang berlangsung pagi tadi.

Ahmad Zahid menambah, Anwar juga menyampaikam pesanan lain antaranya kerajaan bertekad pada tahun 2024 ini mahu menangani isu-isu rakyat dan perundangan baik dari segi bahan makanan dan kejatuhan ringgit.

“Ini harus diperjelaskan dan usaha-usaha baharu harus dilakukan terutamanya pelaburan sebanyak RM329 bilion dapat diusahakan oleh perdana menteri yang akan memberi peluang pekerjaan dan menambah eksport negara serta secara langsung kejatuhan ringgit dapat di atasi dalam masa terdekat ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini dengan sidang pertama bermula esok hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.

Menerusi Portal Rasmi Parlimen Malaysia memaparkan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari yang mana Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia disusuli dengan Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 27 Februari manakala penggulungan oleh menteri-menteri berkaitan bermula 11 hingga 14 Mac.

Bagi pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan akan berlangsung bermula 18 hingga 27 Mac yang mana, pada waktu itu Dewan Rakyat bersidang serentak dengan Dewan Negara.

Seterusnya ialah Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 berlangsung selama 15 hari iaitu dari 24 Jun hingga 18 Julai, kemudian Mesyuarat Ketiga pula selama 35 hari iaitu 7 Oktober hingga 5 Disember.

Pembentangan Belanjawan 2025 pula dijadualkan pada 11 Oktober pukul 4 petang. – MalaysiaGazette

Related Articles