Guna Datuk Seri palsu untuk perdaya uruskan pinjaman

Wanita berusia 36 tahun yang mendakwa ejen sebuah syarikat perunding, Lourdes Ventures Consultancy menjadikan peniaga kecil yang mempunyai masalah kewangan untuk mengembangkan perniagaan sebagai sasaran dengan mengumpan mereka menerusi penganjuran seminar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata kegiatan suspek dibongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang peniaga syarikat percetakan April lalu, mendakwa ditipu wanita terbabit untuk urusan pinjaman wang RM2 juta.

Katanya, mangsa mendakwa berurusan dengan suspek pada Disember tahun lalu sebelum bersetuju menyerahkan RM85,000 kononnya sebagai bayaran pemprosesan pinjaman, namun selepas empat bulan dia gagal mendapatkan wang dijanjikan.

“Selepas bersetuju dengan syarat ditetapkan, mangsa menyerahkan borang permohonan pinjaman berserta RM5,000 sebagai pendahuluan untuk pemprosesan pinjaman. Lelaki itu kemudian memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM80,000 ke akaun syarikat.

“Gagal mendapatkan wang pinjaman dijanjikan, mangsa mendesak suspek menyerahkan semula wang terbabit namun dia hanya berjaya mendapatkan semula RM40,000. Menyedari ditipu, lelaki itu membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di ibu negara pada Rabu.

Izany berkata, hasil maklumat pihaknya memberkas wanita terbabit di sekitar Daerah Dang Wangi pada 21 Oktober lalu sebelum menahan pengarah syarikat terbabit berusia 34 tahun, empat hari selepas itu.

Beliau berkata, setakat ini dua laporan polis diterima daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan suspek di Brickfields dan Sepang, membabitkan kerugian lebih RM200,000.

“Wanita itu berasal dari Kelantan dan sudah berkahwin, juga didapati menggunakan gelaran palsu kerana semakan dengan pihak istana mendapati tidak pernah mengurniakan darjah kebesaran itu kepadanya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada suspek supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan, memetik laporan BH Online.

Related Articles