Guan Eng boleh datang pejabat SPRM jika mahu bekerjasama

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata beliau memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes lain yang disiasat sebelum ini.

“Berhubung kesediaan YAB Lim Guan Eng untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng sebelum ini menyatakan kesediaan beliau untuk menemui SPRM bagi membantu siasatan pembelian sebuah banglo dengan harga di bawah pasaran

Azam turut memaklumkan pihaknya sehingga kini telah menerima sebanyak lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo tersebut.

Mengulas lanjut perkara itu, Azam berkata pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan.

“SPRM juga menerima banyak pertanyaan bila keterangan daripada YAB Lim Guan Eng akan diambil.

“Keterangan YAB Lim Guan Eng akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh, dan ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil,” katanya.

 

Related Articles