Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, jambatan ketiga adalah projek multi bilion kerana ia melibatkan pembinaan utama dan kawasan yang luas.
Menurutnya, pada masa ini, kerajaan negeri membiayai kos kajian kemungkinan membabitkan RM305 juta yang dijadual siap awal tahun depan.
“Kita tahu penyelidikan perlu dijalankan seperti kesan penilaian alam sekitar (EIA) dan sebagainya.
“Oleh kerana ia bukan murah, kami berharap Kerajaan Persekutuan akan bersetuju pada dasarnya supaya sumber kami tidak membazir,” katanya selepas melancarkan Hari Hepatitis di Gurney Paragon di Georgetown, Ahad.
Sebelum ini, Kementerian Kerja Raya melalui Menterinya Datuk Seri Fadilah Yussof, berkata perbincangan mengenai jambatan ketiga telah ditutup dan ia hanya akan dipertimbangkan semula sebaik sahaja kerajaan negeri mengemukakan laporan kajian kemungkinan kepada kementerian. – Bernama