Guan Eng berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan perbicangan bersama PKR bagi menjelaskan objektif dan tujuan untuk mengadakan PRN mengejut di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, pihaknya juga tidak akan menetapkan jangka masa atau tempoh tertentu kepada PKR untuk membincangkan isu berkenaan, walaupun DAP mahu PRN diadakan dengan segera.
“Perbincangan bersama PKR berhubung isu ini (cadangan mengadakan PRN tergempar) perlu dilakukan secepat mungkin dan ia tidak boleh dibiarkan berpanjangan bagi suatu tempoh yang terlalu lama.
“Tambahan, mereka (delegasi PKR) akan datang berjumpa saya untuk mengadakan perbincangan mengenai isu ini dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau memberitahu perkata itu pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown hari ini.
Semalam, PKR masih tidak bersetuju buat masa ini dengan cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang merancang mengadakan PRN dalam masa terdekat.
Keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas PKR yang berlangsung selama hampir tiga jam, malam tadi.