Gerudi tiga telaga tiub tamatkan krisis air di UMS

KOTA KINABALU: Tiga daripada enam telaga tiub bernilai RM3 juta yang digali di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, sudah siap proses penggerudian setakat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ketiga-tiga telaga terbabit mempunyai sumber air bawah tanah yang diperlukan untuk menangani krisis air di kampus UMS.

Katanya, kerja seterusnya ialah pemasangan tangki dan sistem penapisan air sebelum disusuli kerja perpaipan bagi menyalurkan air ke kolej kediaman pelajar.

“Sekarang sudah sah tiga telaga tiub siap digerudi dan ada sumber airnya. Kini, kontraktor dalam proses membuat tangki dan penapis air sebelum disusuli pemasangan paip ke asrama.

“Tiga lagi telaga tiub masih dalam proses penggerudian dan saya akan terus memantau pelaksanaannya termasuk membuat lawatan mengejut bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada Mac depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan projek telaga tiub terbabit selepas meninjau kerja penggerudian yang dilakukan syarikat kontraktor di UMS, semalam.

Projek berkenaan yang dijadual siap sepenuhnya pada Mac depan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas pelajar UMS mengadu berdepan kesukaran akibat krisis bekalan air yang kritikal di kampus universiti itu tahun lalu.

Anwar pada Mei tahun lalu mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk membantu menangani masalah itu dan ia digunakan untuk membina sistem telaga tiub sebagai langkah jangka pendek menampung keperluan air di kampus UMS.

Sementara itu, Mustapha mengulangi kenyataannya sebelum ini berhubung status projek itu yang hanya bersifat penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan beban pelajar akibat bekalan air tidak mencukupi daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Kita mahu tekankan kepada pihak JANS supaya dapat menyalurkan sekurang-kurangnya tiga juta liter sehari (MLD) ke tangki UMS.

“Ini penting sebab usaha yang kita buat ini (telaga tiub) hanya untuk sementara saja. Ia tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan air pelajar dan kegiatan biasa di universiti,” katanya.

Berdasarkan laporan sebelum ini, pihak JANS berdepan masalah kekurangan bekalan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran berikutan kadar permintaan yang melebihi kapasiti menyebabkan banyak kawasan, termasuk UMS terjejas.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta pihak JANS meningkatkan pemantauan dan operasi pemotongan penyambungan paip haram di sekitar Sepanggar yang dikenal pasti turut menyumbang kepada masalah tekanan rendah.

Sebelum ini, pihak JANS dilaporkan sudah melaksanakan operasi pemotongan penyambungan paip haram yang dilakukan penghuni setinggan di beberapa lokasi di Sepanggar, namun ia dikhuatiri berulang jika tiada pemantauan berkala dan langkah membekal air secara sah di kawasan terbabit. -Berita Harian

Related Articles