Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, mangsa seorang wanita berusia awal 20an dilaporkan keluar dari rumahnya di Bandar Baru Sungai Buloh, untuk mengalihkan kereta di hadapan rumah.
Pada masa sama, suspek yang menaiki sebuah van putih, mendekati mangsa sebelum menariknya masuk ke dalam van selain turut meninggalkan nota dalam bahasa Mandarin memaklumkan mangsa diculik dan meminta wang tebusan sebanyak RM5 juta di hadapan rumahnya.
Semasa di dalam van, mangsa dilaporkan menjerit meminta pertolongan orang awam sehingga didengari oleh orang ramai yang berada berhampiran kawasan Bandar Baru Sungai Buloh.
Sekumpulan lebih 10 orang awam menaiki motosikal dan kereta yang mendengar jeritan mangsa bertindak mengejar van berkenaan sehingga menyebabkan suspek berasa panik dan ketakutan.
Tidak lama selepas itu, suspek kemudian mencampakkan mangsa keluar dari van berkenaan dan diselamatkan orang ramai manakala suspek terus melarikan diri melalui jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor.
Suspek juga turut dilaporkan melanggar beberapa buah kereta di kiri dan kanan jalan sekitar kawasan Paya Jaras bagi meloloskan diri semasa dikejar orang awam namun terbabas dan melanggar sebatang pokok di Sungai Pelong, Sungai Buloh.
Dua suspek itu kemudian ditarik keluar oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis sebelum van berkenaan dibakar oleh orang awam.
Pemeriksaan mendapati van berkenaan dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran palsu. – BH Online