Gaduh Tentang Duit, Adik Tetak Abang

by Anis

KUALA LUMPUR: Seorang kelindan lori diberkas polis selepas disyaki menetak abang kandungnya menggunakan parang dalam pergaduhan di rumah mereka di Bandar Baru Ampang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan pada jam 9.14 pagi, mengadu dua adik lelaki bergaduh dan salah seorangnya parah.

Polis yang tiba di lokasi kejadian dimaklumkan pergaduhan adik-beradik yang berusia masing-masing 20 dan 25 tahun itu berlaku sekitar jam 8.30 pagi.

“Suspek kemudian secara tiba-tiba mengambil sebilah parang lalu melibas ke arah kaki mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azam, mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan segera.

“Berikutan kejadian itu, pada hari sama kejadian jam lebih kurang 9.50 malam, sepasukan polis Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kesalahan tersebut.

“Suspek seorang warga tempatan yang bekerja sebagai kelindan lori telah ditahan di kawasan Bandar Baru Ampang dan merampas sebilah parang lebih kurang 30 sentimeter yang dipercayai digunakan semasa kejadian itu,” ujarnya.

Suspek negatif dadah tetapi memiliki dua rekod lampau kesalahan jenayah.

Motif kejadian berpunca daripada masalah kewangan sehingga suspek bertindak di luar kawalan.

Suspek akan direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya.

Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat. – MalaysiaGazette

Related Articles