Gadis Orang Asli lari ikut kekasih Facebook

Milah Damak, 25, dari Kampung Podek Lambok, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di Gua Musang didakwa hilang sejak Isnin lalu dan dipercayai berada di sekitar Johor bersama lelaki Indonesia yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook sejak sebulan lalu.

Bapanya, Damak Angah, 56, berkata, seminggu sebelum hilang, gadis suku kaum Temiar itu kelihatan resah dan berubah perangai apabila kerap bermain telefon bimbitnya.

“Ketika mengikut ibu dan abangnya ke bandar Gua Musang pada pukul 9 pagi Isnin lalu, Milah memberi alasan hendak ke sebuah bank untuk mengeluarkan duit. Dia kemudian tidak muncul-muncul.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank menunjukkan anak saya yang ketika itu memakai baju T belang hitam putih dan berseluar jean kelabu berjalan bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya yang bekerja di Johor,” dakwanya, memetik laporan Kosmo Online.

Tambahnya, dia sekeluarga amat bimbangkan mengenai keselamatan anak ketujuh daripada 12 beradik tersebut lebih-lebih lagi dia mengalami kecacatan pada tangan kirinya.

Menurut Damak, sebelum berkenalan dengan lelaki tersebut, Milah merupakan anak yang mendengar kata serta rajin membuat kerja rumah seperti memasak dan mengemas tanpa perlu disuruh.

“Kami gagal menghubunginya kerana telefon bimbitnya telah dimatikan,” katanya yang telah membuat laporan polis pada Selasa lalu mengenai kejadian itu.

Sementara itu, adik Milah, Mazna, 22, berkata, kakaknya pernah memberitahunya mengenai hubungannya dengan lelaki tersebut.

“Lelaki itu pernah datang ke rumah pada 29 Oktober lalu bersama seorang rakan bertanya tentang kakak. Selepas itu, kakak kelihatan murung dan tiada selera makan,” ceritanya.

Related Articles