Menurut Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, rezekinya juga turut bertambah.
Anak keempat daripada lima beradik ini berkata dia telah menerima panggilan daripada beberapa agensi yang mahu menghulurkan bantuan pinjaman perniagaan.
“Memang ada beberapa pihak yang menawarkan pinjaman perniagaan untuk saya. Tapi apa yang saya perlukan sekarang ialah bantuan untuk membina bengkel membuat kuih bakul.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat ada telefon untuk beri bantuan. Tapi saya tak pasti apa bentuk bantuannya. Selain itu saya turut menerima tawaran untuk memberi motivasi kepada usahawan lain,” katanya.
Dia berkata dia memerlukan bengkel kerana selama ini kuihnya hanya diproses di dapur rumahnya yang kecil dengan dibantu adik dan ibunya.
“Alhamdulillah rezeki saya juga semakin bertambah. Sebelum ini saya hanya siapkan 2,000 biji kuih bakul bagi sekali proses. Tapi selepas berita saya diketahui ramai, saya terima 4,000 lagi pesanan.
“Pesanannya termasuk dari Brunei dan Australia,” tambahnya.
Dengan tersebarnya berita mengenai Yaya, dia juga tidak terlepas daripada mendapat perhatian para netizen.
Gadis ini menerima pelbagai komen termasuk ‘ayat-ayat cinta nakal’ di Facebooknya.
Antaranya: …dia ckp(cakap) syg(sayang) oku(kelainan upaya) tapi syg sempurna di mata abg…diorang cakap syg xleh(tak boleh) jalan, tapi syg dah jalan jauh dalam hati abg…
…Syg kalau buat kuih lepas ni kena pakai sarung tangan, abg takut manis tangan syg meresap dalam kuih tu nanti terlebih manis pulak. Manis gula potong kaki, manis syg menambat hati…
Dia mengakui terkejut dengan usikan sebegitu. Didapati berita dan video mengenai kisahnya yang disiarkan Bernama sebelum ini telah ditonton 498,570 dan dikongsi 8,500 pengguna laman sosial.
“Ada yang komen nasihat membina dan ada juga yang komen nakal-nakal nak ngorat dan mesej nak berkenalan. Tapi saya anggap itu hanya sebagai gurauan.
“Selama ini orang tak tahu pun siapa Yaya, malah orang Kemaman sendiri pun tak tahu Yaya jual kuih bakul sebab Yaya tak jual di kedai hanya melalui pos,” ujarnya.
Dia menambah dia menerima mesej di WhatsApp melebihi 3,000 dan mempunyai pengikut sehingga 32,000 orang. -Bernama