Fokus menang hati rakyat, bukan jawatan dalam parti – Nazri

Beliau berkata, usaha untuk memenangi hati rakyat itu jauh lebih penting daripada memikirkan kedudukan dalam parti atau mempertikai perbezaan pendapat.

“Jadi, saya harap dalam Perhimpunan Agung UMNO ini, kita bincang tentang apa yang perlu dilakukan lagi, memberi cadangan kepada pucuk pimpinan untuk menang dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-12, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, sejak 2008, pilihan raya sudah tidak semudah pilihan raya sebelumnya dan dengan teknologi pada masa kini, persaingan dalam pilihan raya semakin sengit.

Beliau berkata, dengan kemudahan teknologi pada masa kini, masyarakat lebih mudah mempercayai apa yang disebarkan walaupun ia bukan berasaskan fakta sebenar.

“Orang cepat percaya, persepsi itu penting dan ia boleh memenangkan dalam pilihan raya walaupun ia tidak betul, sebab itulah dalam perhimpunan agung ini, kita pusatkan perpaduan dalam kalangan ahli,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan membuka tirainya esok yang dikatakan sebagai perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum yang akan datang. – Bernama

Related Articles