ALOR SETAR: Cuaca panas akibat fenomena El Nino dijangka akan memberi kesan kepada kawasan sawah yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air hujan dan air bukit untuk memulakan musim tanaman baharu.
EXCO Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PESAWAH), Abdul Rashid Yob, berkata kebanyakan sawah terletak di luar kawasan tanaman Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
Jelasnya, terdapat petak sawah di luar kawasan MADA dilaporkan sudah mengalami masalah tanah merekah berikutan ketiadaan sumber air mencukupi untuk pengairan.
“Di Kedah kita ada kira-kira 20,000 hektar sawah di kawasan luar MADA, mereka juga antara penyumbang kepada keterjaminan makanan negara. Begitu juga sawah di negeri lain, terdapat kawasan sawah di Melaka contohnya turut terkesan dengan cuaca panas sekarang.
“Saya dimaklumkan ada pesawah di luar MADA mula alami tanah sawah merekah kerana tiada hujan, jadi keadaan ini membimbangkan untuk mereka memulakan tanaman musim seterusnya, jika cuaca panas berterusan tanpa hujan, kita khuatir mereka akan menangguh jadual penanaman padi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, cuaca yang terlalu panas ketika ini juga mengakibatkan ramai pesawah terpaksa mengehadkan aktiviti kerja di sawah.
Katanya, ramai pesawah memilih keluar ke sawah awal iaitu selepas Subuh dan kembali ke rumah pada jam 10 pagi sebelum kembali semula ke sawah pada jam 5 petang.
“Waktu antara jam 1 tengah hari hingga 2 petang sangat panas, kita akui aktiviti di sawah agak terganggu, kita nasihatkan pesawah untuk jaga kesihatan kerana ramai pesawah ini berusia 50-an ke atas. Mereka agak berisiko untuk terkena strok haba.
“Bagaimanapun bekalan air untuk sawah di kawasan MADA tidak banyak terjejas dan kini sudah lebih 10 peratus padi sudah dituai,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rashid berharap agensi berkaitan seperti MADA, Jabatan Pengairan dan Saliran, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) dan lain-lain agensi dapat membuat persediaan untuk menghadapi fenomena El Nino yang dijangka lebih buruk pada 2025.
Katanya, perancangan lebih awal perlu dilakukan dari sekarang agar bekalan air mencukupi untuk pertanian.
“Kita bimbang apabila musim tanaman lewat dimulakan akibat taburan hujan berkurangan, maka ia akan memberi kesan kepada musim seterusnya dan ini boleh menyebabkan masalah lebih besar.
“Pada masa sama kita juga bimbang berlaku kekurangan dan kelewatan benih padi seperti yang berlaku sebelum ini. Jadi agensi berkaitan pertanian ini kena bertindak segera dan lebih proaktif selesaikan masalah pesawah,” tegasnya. -Berita Harian Online