Felcra agih dividen interim pertama RM74.78 juta

Menteri KKLW Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kelazimannya keuntungan ladang akan dibayar tiga kali setahun kepada para peserta dalam bentuk interim pertama, interim kedua dan akhir.

“Tempoh bayaran dibuat berdasarkan kesesuaian musim seperti Aidilfitri (interim pertama) dan persekolahan (interim kedua) bagi menggembirakan peserta di samping mengurangkan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mesra pemimpin bersama Felcra Berhad Parlimen Sungai Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya.

Turut hadir Ketua Setiausaha KKLW Datuk Mohd Arif Ab Rahman, Pengerusi Felcra Datuk Bung Moktar Radin dan ketua peserta Felcra kawasan Teluk Menteri Datuk Saharudin Atbun.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata bayaran dividen akan diberikan kepada para peserta mengikut keluasan tanah yang dibangunkan Felcra iaitu pada kadar RM400 seekar.

“Tanah yang kami bangunkan adalah satu sehingga sepuluh ekar dan di sini (Teluk Menteri), tanah yang kami bangunkan kebanyakannya adalah tiga sehingga empat ekar,” katanya. – Bernama

Related Articles