Dengan peristiwa timbalan perdana menteri digugurkan tahun lalu, disertai kritikan yang semakin pedas dan tajam oleh beberapa individu, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, membuatkan akar umbi Umno sedikit goyah.
Namun pemimpin-pemimpin Umno dikatakan berjaya mengawal keadaan. Ikuti wawancara khas Sinar Harian bersama Ketua Penerangan Umno, TAN SRI ANNUAR MUSA yang mengupas isu Najib dan Umno yang menjadi perhatian rakyat sekarang.
Dalam kecelaruan Umno sekarang, dengan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan dan isu dalaman parti termasuklah isu perdana menteri sendiri, ramai kata Umno tidak akan menang pada PRU14. Apa pandangan Tan Sri dalam perkara ini?
Pada saya, mungkin kalau pilihan raya itu dalam masa terdekat, kita boleh merasakan apa yang dikatakan itu boleh menjadi sesuatu yang menggerunkan. Tetapi Insya-ALLAH Parlimen tidak akan bubar dalam masa 14 hari.
Sekiranya Parlimen nak bubar pun mungkin akan mengambil masa dua tahun dan dalam politik, dua tahun itu masa yang cukup panjang. ALLAH SWT memberi peluang untuk kita berikhtiar. Saya tidak menafikan banyak isu yang sedang kita hadapi. Namun begitu, kalau nak kata Umno dalam kecelaruan adalah tidak tepat.
Saya boleh gunakan istilah Umno sedang diasak dengan hebat oleh musuh-musuh politik dan kita melakukan sesuatu dengan penuh pemahaman dengan apa yang sedang berlaku di luar sana. Kita lakukan dengan cara kita sendiri dan langsung tidak ada timbul soal kecelaruan.
Umno tidak mempunyai masalah dalaman yang besar. Tidak ada krisis kepimpinan. Semuanya dalam kawalan tetapi tidak dinafikan bila orang luar lihat timbalan presiden kena pecat, ia adalah satu isu yang besar. Tapi dalam sejarah Umno misalnya pada 1986 dan 1987 apabila berlaku pergolakan dalaman pada waktu itu, ia memang besar.
Kerana bila ada perbezaan pendapat, seluruh parti akan terbelah dua. Namun begitu, situasi sekarang jauh lebih baik dari dahulu. Kabinet sekarang sangat kukuh. Apabila ada ahli kena gugur, tiada ahli lain menawarkan diri mahu berhenti hanya kerana dua menteri digugurkan.
Walaupun yang terlibat ialah jawatan timbalan perdana menteri dan naib presiden, namun ia tidak menggugat ahli lain. Dalam Majlis Tertinggi pun semuanya stabil, walaupun beberapa orang diambil tindakan. Jadi jika kita nak kata Umno itu dalam kecelaruan adalah tidak benar.
Namun kita harus terima hakikat ia adalah satu cabaran yang besar kerana ia melibatkan orang berjawatan besar. Tetapi ini semua bergantung dengan cara kita mengawal keadaan. Apa yang boleh saya katakan daripada pengalaman saya berada dalam Umno selama ini ialah apabila sesuatu isu timbul, pihak pembangkang hanya memerlukan suku atau separuh daripada kebenaran untuk melontarkan cerita kepada rakyat. Tetapi kita dalam kerajaan, walaupun separuh kebenaran yang diterima, kita harus mengambil masa dan tenaga yang lama untuk menegakkan kebenaran tersebut. Ini adalah realiti yang kita terpaksa hadapi dalam kerajaan.
Saya percaya ada perkara yang kita perlu jawab dan ada perkara yang tidak semestinya kita layan (ikut) rentak yang cuba dibangkitkan. Contohnya isu RM2.6 bilion. Kita hanya perlu jelas setakat apa yang perlu dijelaskan. Ia adalah soal berkaitan Umno menguruskan kewangan dan soal dana pilihan raya.
Ia adalah tentang dana politik. Pada ahli-ahli parti, kita terima penjelasan yang diberikan oleh presiden kita. Kita tak boleh nak mempersoalkan betul atau tidak kerana kebetulan dalam negara tidak ada undang-undang menyatakan begitu. Jadi kalau kita nak mempersoalkan keseluruhan dana politik dalam keadaan musuh kita tidak perlu berbuat demikian, ia adalah tindakan yang tidak bijak.
Kalau kita lihat dari segi makro politik, parti-parti lain pun sedang bercelaru sekarang. DAP dan PKR pun mempunyai masalah masing-masing. Jadi sekiranya semua parti bercelaru, tidakkah Tan Sri rasa ini masa yang terbaik untuk Umno menghadapi pilihan raya?
Betul. Sebab itu dalam perancangan kita, kita masih lihat keadaan ini sebagai tenang. Kita bukan tidak peka dengan apa yang Mahathir cuba buat. Cuma pada saya, itu semua bukan kepentingan asas. Ia semua sebahagian daripada reaksi atau peristiwa tetapi bukan isu utama.
Kerana kita semua tahu pada dasarnya Mahathir tidak sukakan DAP dan DAP tidak sukakan Mahathir. Asasnya adalah persoalan lain. Terdapat perkara lain yang harus Umno perbaiki.
Kita tak boleh nafikan BN mungkin akan ada gabungan baru, mungkin akan ada kerjasama dengan pihak-pihak yang boleh sama-sama memperkuatkan antara satu sama lain. Kita tak boleh nafikan pakatan yang sedia ada ini mungkin tidak dapat bertahan untuk lagi dua tahun.
Ia mungkin berubah kerana seperti yang saya sebut tadi, dua tahun itu jangka masa yang lama dalam politik. Cabaran kepada Umno itu betul dan Umno mesti bijak mengambil kesempatan dari situasi sedia ada. Kita harus lihat diri kita dan kelemahan musuh kita.
Adalah juga benar isu dalaman DAP cukup hebat. Walaupun isu dalaman Umno boleh dikatakan berkocak, tidak ada pemimpin keluar parti. Namun begitu, DAP baru sehari dua sudah ada yang keluar (parti). Jadi masalah-masalah begini adalah suatu dugaan yang harus kita hadapi dalam politik.
Adakah Umno akan jadi lebih kukuh dan menang PRU14 andainya Datuk Seri Najib tidak lagi menjadi Presiden Umno?
Itu andaian yang tidak perlu dibangkitkan. Kenapa kita nak bermain dengan idea Umno sertai pilihan raya tanpa presiden? Dari dulu saya mempertahankan Mahathir, malah dari saat beliau paling tidak popular. Kenapa saya sanggup membakar diri saya di Kelantan menentang Tengku Razaleigh (Hamzah)? (Ia adalah) untuk pertahankan presiden. Kenapa saya sanggup berpisah dengan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim? Kerana saya nak pertahankan presiden. Sama dengan sekarang.
Kita tahu strategi lawan adalah menumbangkan sesiapa sahaja yang hendak menjadi Presiden Umno. Oleh itu, sesiapa yang nak jadi Presiden Umno haruslah bersedia. Siapa boleh jamin kalau kita tolak kepimpinan Najib sekarang, penggantinya tidak akan menghadapi masalah yang sama?
Dulu orang kata Mahathir adalah firaun. Saya antara orang terakhir yang minta dia meletakkan jawatan. Apabila dia berhenti, kita ingat (apabila) kita gantikan dengan orang yang lebih lembut, lebih kuat latar belakang agama dan sebagainya, keadaan akan pulih. Tetapi berapa lama sahaja Tun Abdullah Ahmad Badawi mampu bertahan?
Akhirnya orang serang juga Pak Lah. Kemudian digantikan dengan Najib. Lebih dinamik, boleh dikatakan lebih segala-galanya daripada Pak Lah. Selepas itu Najib harus menghadapi situasi yang serupa, iaitu terpaksa hadapi cabaran walaupun pilihan raya berjalan dengan lancar.
Jadi, sekiranya kita selalu nak tukar presiden, kita akan rugi. Sebab itulah Umno harus mempertahankan presidennya. Sesiapa yang menjadi presiden akan menghadapi isu. Walaupun dilanda masalah, dari segi perancangan ekonomi, zaman Najib yang paling baik jika nak dibandingkan dengan presiden-presiden sebelum ini.
Ramai orang beranggapan ekonomi kita akan hancur, kita akan menjadi negara yang gagal di bawah kepimpinan Najib, namun semua hanyalah sentimen. Faktanya ialah ekonomi kita meningkat dalam kadar 4.5 hingga 5 peratus walaupun dalam keadaan ekonomi global yang tidak seberapa baik ketika ini.
Kelmarin United Nations mengeluarkan indeks kebahagiaan dunia dan kita adalah antara negara-negara yang berada di indeks tinggi dan ini dibuat oleh badan antarabangsa. Forum ekonomi dunia menjelaskan di mana kedudukan kita di dalam konteks persaingan dunia dan kita berada dalam antara kedudukan terbaik dari segi perurusan perniagaan.
Isu politik yang membangkit tidak akan menggugat keadaan ekonomi negara justeru, tidak akan menggugat proses membuat keputusan dalam sistem proses politik di Malaysia. Ini bermakna negara kita adalah stabil. Itu ulasan orang luar terhadap negara kita. Itulah realitinya.
Ini berbeza dengan zaman pemerintahan Mahathir dahulu. Beliau mula menjadi perdana menteri pada 1981 dan ketika itu ekuiti Bumiputera berada pada tahap 18.7 peratus. Pada 2003 sewaktu dia berhenti selepas 22 tahun menjadi perdana menteri, termasuk saya 10 tahun dalam Kabinet, ekuiti Bumiputera masih kekal pada 18.7 peratus.
Tidak ada sebarang peningkatan dalam tempoh 22 tahun. Kalau kita mahu memperbesarkan isu, 22 tahun memerintah tetapi tidak dapat menyumbang kepada pembangunan negara adalah satu isu besar. Malah beliau menangis atas pentas, kata tidak berjaya membantu orang Melayu tetapi beliau pandai pusing cerita dan letak kesalahan pada orang Melayu. Kalau kita nak pusing cerita dia pula, nak salahkan kaum Melayu buat apa? Dia yang jadi presiden untuk 22 tahun.
Sekarang ekuiti Bumiputera berada di tahap 24 peratus di bawah pentadbiran Najib. Banyak lagi perkara lain yang boleh kita lihat yang menunjukkan pengurusan ekonomi dari segi dasarnya berbeza daripada zaman Mahathir dahulu. Mahathir kata Najib zalim. Saya pun dalam Kabinet Tun dahulu. Kami semua tahu apa yang kita lakukan dan lalui pada waktu itu.
Cuba tanya orang media adakah sekarang lebih bebas atau dahulu lebih bebas? Bagaimana dengan pembangkang pula, adakah mereka mendapat kebebasan bersuara lebih pada masa dahulu atau sekarang? Bagi yang makan gaji siapakah yang lebih selesa? Bantuan bagi yang tidak berkemampuan lebih banyak diberikan pada waktu dahulu atau sekarang? Itu semua adalah fakta. Jadi kenapa kita nak menolak pemerintahan Najib?