Beliau mengucapkan tahniah kepada pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah, itu selepas diumumkan selaku pemenang di majlis Anugerah Bola Sepak FIifa 2016 diZurich, Switzerland, awal pagi Selasa.
“Tahniah Faiz Subri memenangi Fifa Puskas Award 2016. Alhamdulillah berkat usaha membuahkan hasil, harumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.
Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon – Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus.
Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma ketika perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Februari tahun lepas.
Sementara itu, segenap lapisan masyarakat Malaysia tidak melepaskan peluang melalui media sosial untuk mengucapkan tahniah kepada Mohd Faiz selepas pengumuman tersebut.
Ia termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam akaun Twitternya, yang berkata tiada ucapan tahniah yang boleh menggambarkan kebanggaan negara terhadap pencapaian penyerang Pulau Pinang itu.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dalam akaun Twitternya berkata: “Tahniah Faiz (Congratulation Faiz). We salute you (Kami tabik anda)”.
Pengguna Twitter, @aiemiemyra berkata ia adalah berbaloi untuk menunggu di hadapan televisyen untuk mendengar ucapan daripada Mohd Faiz.
Seorang lagi pengguna Twitter, @jimmylajim berharap pencapaian Mohd Faiz itudapat memberi inspirasi kepada ramai pemain bola sepak muda Malaysia untuk meraih pengiktirafan antarabangsa pada masa depan. – Bernama