Fadillah Nafi Parlimen Muar Tidak Terima Peruntukan

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan kawasan Parlimen Muar tidak disalurkan peruntukan oleh kerajaan seperti didakwa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Fadillah turut menafikan bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berjumpanya tiga kali bagi membincangkan isu berkenaan.

Menurutnya, Syed Saddiq ada berjumpanya dua kali sebelum ini namun beliau tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana isu peruntukan perlu dibincangkan bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Kalau dia (Syed Saddiq) jumpa TPM tiga kali, dengan saya hanya dua kali, yang satu lagi saya tak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al Hidayah, Taman Sejoli, Petra Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Syed Saddiq, Khamis lalu bahawa kawasannya belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah tiga kali berunding dengan Timbalan Perdana Menteri.

Syed Saddiq dilaporkan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan isu berkenaan.

Dakwaan itu terkandung dalam pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat seperti disiarkan di laman web Parlimen.

Dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan dibangkitkan Syed Saddiq, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata lebih RM300 juta disalurkan menerusi pelaksanaan puluhan projek di Parlimen Muar. -Berita Harian

Related Articles