Arahan tersebut sekaligus bertentangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali yang berpendapat bahawa ‘seksi adalah ciptaan Tuhan’ ketika mengulas mengenai bantahan terhadap konsert artis antarabangsa itu.
Dalam kenyataan itu, Yunus menegaskan umat Islam tidak merestui konsert dan hiburan melampau yang hanya akan mengundang bala daripada Allah.
“Umat Islam tidak akan redha dan merestui segala bentuk hiburan yang melampau termasuklah konsert Selena Gomez yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT.
“Semua masjid di Negeri Selangor diarahkan mengadakan solat hajat selepas solat jumaat atau pada bila-bila masa yang sesuai sebelum konsert itu berlangsung untuk memohon kepada Allah SWT semoga konsert tersebut dibatalkan dan negeri Selangor yang kita cintai ini tidak ditimpa bala bencana.
“Juga diberikan hidayah oleh Allah SWT kepada pihak yang terlibat dalam penganjuran konsert ini,” katanya.
Konsert Selena Gomez bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, 25 Julai ini mendapat bantahan Pemuda dan Muslimat PAS yang mengatakan artis berkenaan membawa imej seksi dan liar serta mengundang masalah sosial.
Azmin sebelum ini menegaskan bahawa konsert itu tetap akan diteruskan kerana penganjur telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan.